Perkara ini yang merunsingkan Jai jika Faz tidak faham apa yang Jai cuba sampaikan. Jai mencuba lagi. Kali ini petunjuk kedua pula yang ditunjukkan olehnya kepada Faz. Jai menghulurkan cendol jagung kepada Faz. Jai pula hanya sekadar minum air batu campur sahaja.
Jai mula memuji-muji perwatakan Faz. Jai mahu Faz tahu bahawa Jai puji dengan ikhlas. Bukannya dibuat-buat.
"Saya suka dengan cara awak yang open minded. Maksud saya awak tak awkward dengan apa yang saya cerita dengan awak. Awak ni pun jenis melayan je. Haha." Gelak Jai. Dalam masa yang sama Jai hanya memerhatikan tingkahlaku Faz. Ya, memang Faz seorang yang open minded. Faz seronok melayan lawak-lawak yang Jai sampaikan. Ada punchline katanya.
"Biasalah, hidup kita ni tak boleh nak pesimis sangat. Saya pun suka juga dengan cara awak yang sempoi je memanjang. Macam tak ada masalah je." Kata Faz sambil meminum cendol jagungnya. Jai cuba mengawal dirinya daripada marah.
Dia ni tak perasan lagi ke dengan apa yang aku buat? Monolog Jai. Jai sudah tidak sabar untuk meluahkan perasaan cintanya pada Faz tapi dia masih lagi trauma akibat pernah kena reject. Terpaksalah Jai bersabar sehingga tunggu masa yang sesuai. Faz memandang wajah Jai yang mulutnya terkumat-kamit.
"Awak baca apa tu? Awak nak santau saya eh?" Tanya Faz kepada Jai. Jai terkejut.
"Eh, tak. Saya cuma baca doa makan je. Haha."
"Ohh yeker. Saya ingatkan awak nak santau saya. Maklumlah cerita Santau kan top sekarang ni dekat pawagam. Jadi saya ingat awak dah terpengaruh."
Budak ni banyak sangat tengok movie ni... Tak apalah, nasib baik cantik. Jai cuba untuk melegakan hatinya dengan berfikiran optimis.
"Awak ni cantik, mesti ramai orang minat awak kann..." Puji Jai lagi. Faz tersipu-sipu malu bila mendengar pujian Jai.
"Eh tak adalah. Biasa je. Saya cuma risau orang friendzone dengan saya je. Lagipun, saya ni bukannya cantik macam Emma Maembong." Faz cuba merendah diri. Dia tidak mahu dipandang serong oleh Jai. Jai kemudian terbatuk.
"Awak okey tak?" Tanya Faz dalam keadaan kelam-kabut bila melihat Jai batuk tidak berhenti.
"Okey je. Saya cuma tersedak bila awak cakap macam tu. Tapi jujurlah awak memang cantik. Saya tak pandai nak tipu perempuan. Dengan lelaki je saya pandai menipu." Jai cuba mengampu Faz lagi. Jai berharap Faz dapat perasan dengan tingkah lakunya.
Faz tersenyum. Jai dapat perasan dengan senyuman Faz. Kali ini Jai dapat merasakan bahawa dia telah berjaya merembat hati Faz dengan jayanya! Dia yakin Faz adalah bakal isterinya. Jai mula hanyut dengan angan-angannya yang dicipta sendiri.
"Awak... Awak..!" Faz menggoncang badan Jai. Jai yang sedang angau tiba-tiba tersedar sambil gelak kecil.
"Maafkan saya. Saya tengah fikirkan sesuatu." Ujar Jai yang baru habis berangan.
"Awak fikirkan pasal saya ya? Tak payah risaulah. Saya tahu jaga diri saya. Erm, jomlah balik kampus. Cendol saya pun dah habis ni. Lainlah kalau awak nak belanja lagi. Hehe." Usik Faz. Wajah Jai berubah menjadi merah menahan malu.
"Eh, saya tak ada duit lagilah. Nanti saya dapat elaun saya belanja awak lagi okay!" Jai tersangatlah gembira pada hari itu kerana dia dapat merasakan dengan hatinya sendiri bahawa Fazira Izrin sudah jatuh cinta dengannya.
Alhamdulillah. Jai bersyukur dengan keadaan dirinya sekarang ini. Dia sangat berharap ini adalah cintanya yang terakhir.
***
Malam itu, Kamal melihat perangai Jai makin pelik. Dia sudah pandai buat origami kapal terbang, kereta racing, angsa, dan macam-macam bentuk origami yang ada. Kamal menegur perubahan Jai.
"Jai Ho. Kau dah gila ke? Tiba-tiba buat banyak origami pelik-pelik ni. Kau nak bagi dekat Faz tu ke?" Tanya Kamal sambil memegang origami kapal terbang yang dibuat oleh Jai. Jai merampas kembali origami kapal terbang yang dipegang oleh Kamal.
"Janganlah pegang-pegang, rosak nanti!" Kata Jai.
"Kau ni macam-macamlah Jai. Pelik-pelik je kau ni. Kata dah tak jatuh cinta. Kau ni yakin ke dengan Faz tu? Aku rasa kau je yang syok sendiri ni..." Perli Kamal. Saja nak buat Jai sakit hati. Hari tu kata lain, sekarang kata lain.
"Dia mesti perasan punya. Aku dah bagi dia petunjuk cinta!" Ujar Jai dengan wajah yang gembira tak terkata.
"Gila."
"Kaulah gila. Kata aku pula. Aku tak tahulah kenapa aku boleh jatuh cinta dengan Faz ni." Marah Jai. Kamal menolak kepala Jai secara tiba-tiba.
"Aku pun tak tahulah kenapa tiba-tiba aku tolak kepala kau ni. Aku rasa kan, makin lama aku tengok kau makin lama aku rasa macam nak pijak kau. Haha" Gelak Kamal. Jai tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib baiklah Jai seorang yang penyabar. Kalau tak dah lama dipukulnya Kamal. Itu pun kalau boleh.
"Dah laa Kamal, kau jangan nak menganjing aku malam-malam buta ni. Tolonglah bersikap matang sikit. Umur pun dah makin meningkat." Nasihat Jai kepada Kamal. Kamal gelak besar.
"Kau tu yang tak matang. Lelaki yang matang adalah lelaki yang berpegang pada janji. Ini minggu lepas punyalah poyo kata tak nak bercintalah, tak nak itulah, kena reject, semua benda mengadu kat aku. Lepas tu hujung-hujung jatuh cinta. Kau dah kena rasuk dengan jin ni...." Kamal hanya sekadar menasihati Jai supaya Jai tidak kecewa. Tetapi Jai tetap berdegil.
"Jin apa pulak malam-malam buta ni..."
"Jin bodoh. Bodoh macam kau."
"Diamlah!!!" Jerit Jai kepada Kamal. Kamal hanya tersengih.
"Aku tak nak kau kecewa je. Hujung-hujung nanti kau menyesal. Percayalah. Aku selaku roommate kau yang banyak pengalaman bercinta hanya mampu nasihat je. Aku tak mampu nak buat lebih-lebih sebab itu pilihan kau."
"Suka hati akulah Kamal. Aku tahu apa yang aku buat. Kali ini dia akan jadi buah hati aku. Aku akan ada girlfriend yang pertama buat julung kalinya setelah aku single bertahun lamanya. Yang penting aku dah belanja dia cendol. Dia suka makan cendol kott."
"Hidup jangan terlalu dipenuhi dengan harapan takut kecewa di kemudian hari sakit nanti. Itu jelah aku nak cakap." Kamal menutup bicara. Jai mengalihkan pandangannya ke luar jendela. Memikirkan apa yang Kamal cakap.
Jai ragu-ragu dengan dirinya. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih pun. Hanya sekadar jatuh cinta buat kali terakhir. Dia pun sudah muak asyik kena reject banyak kali. Kalaulah dia kena reject maka dia adalah lelaki pertama dalam universitinya yang pernah kena reject sebanyak 21 kali! Malu besar Jai jika perkara itu berlaku pada dirinya!
Kamal yang sedang melihat Jai hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menepuk bantalnya. Kemudian, Kamal terus merebahkan dirinya di atas katilnya yang empuk itu.
Aku kata kau tak nak percaya... Monolog Kamal dalam dirinya sebelum dia melelapkan matanya.
***
Seminggu kemudian...
Kamal membuka pintu bilik. Kamal meletakkan nasi bungkusnya di atas meja. Kemudian dia duduk sambil menghela nafas lega akibat latihan kawad yang dihadirinya. Kamal bukannya boleh tahan berdiri lama-lama. Dia cepat sangat rasa penat.
Kamal perasan sesuatu yang pelik. Ada sebuah lembaga di bawah mejanya. Dia terkejut dan perlahan-lahan cuba melihat apakah lembaga tersebut.
Rupanya Jai. Jai yang sedang bersedih dan menangis teresak-esak. Kamal menarik tangan Jai untuk keluar dari bawah mejanya.
"Keluarlah gila! Kau duduk bawah meja aku ni buat apa?!" Marah Kamal. Jai bangun lalu keluar daripada bawah meja Kamal.
"Kau menangis ni dah kenapa? Gila ke?" Tanya Kamal lagi dalam nada marah. Sudahlah Jai duduk bawah meja, tambah lagi menangis yang conform boleh buat Kamal jadi tension. Terpaksalah Kamal cuba untuk menenangkan Jai.
"Friendzone... Petunjuk cinta aku mengarut... aku dah kena friendzone. Aku dah terlambat nak luahkan perasaan aku..."
"Apa?"
"Aku tak tahu yang Faz pun suka aku jugak sebenarnya. Aku ingat nak tunggu dia confess dekat aku tapi semalam dia beritahu yang dia dah ada pakwe. Baru couple pulak tu. Alangkah dukacitanya hati aku bila dapat tahu perkara tu..." Luah Jai perlahan. Dia benar-benar sedih.
"Kau kata dia suka kau?"
"Itupun aku dapat tahu semalam. Dia kata dia betul-betul suka dengan cara aku, sikap aku, perwatakan aku. Dan dia pun ada kata tak pernah ada lelaki layan dia dengan baik sangat macam aku layan dia tapi apakan daya dia pun tunggu jugak aku confess rupanya." Cerita Jai. Kamal mendengar cerita Jai dengan teliti.
"Bila aku dapat tahu semua ni aku teruslah mintak couple dengan dia. Kau tahu apa dia cakap?"
"Apa benda? Mesti dia reject punya. Haha."
"Tahu pun. Dia reject aku. Tak adillah macam ni. Kata suka aku. Kenapa reject aku? Hmm.." Jai luahkan sedikit rasa kesalnya. Sepatutnya dia tidak memberi petunjuk cinta. Jai mula rasa apa yang dia buat selama ini sia-sia.
"Dia dah ada pakwe bodoh. Tak akanlah dia nak tinggalkan pakwe dia? Fikirlah sikit. Aku dah kata awal-awal jangan letak harapan. Tengok apa dah jadi." Ujar Kamal. Jai mula rasa menyesal.
"Ini kali ke-21 aku dah kena reject. Kehinaan apakah ini?" Jerit Jai dengan kuat di dalam bilik. Kamal membuat wajah selamba sambil membuka nasi bungkusnya.
"Tahi anjing. Aku dah kata dengan kau tak payah nak gatal bercinta. Kau juga yang sengsara. Maka, dengan ini kau dinobatkan sebagai King of budak kena reject!" Kamal memberi gelaran yang teruk kepada Jai.
"Aku dah terlepas... sedihnya aku. Aku tak tahu nak buat apa. Dengan mana-mana perempuan asyik aku kena reject je. Baik aku pergi Reject Shop ajelah lepas ni."
"Buat apa pergi Reject Shop?" Tanya Kamal.
"Beli bajulah." Jawab Jai dengan lawak bodohnya.
"Sudahlah. Lepas ni jangan bercinta dengan perempuan. Kau bercinta je dengan lelaki. Bodoh betul kau ni. Lain kali fikir dulu sebelum buat tindakan." Kata Kamal sambil menyuap nasi bungkus ke dalam mulutnya.
"Fazira Izrin... nama cantik... orang pun cantik..." Jai mengesat air matanya yang mengalir.
"Esok aku buat sijil untuk kau. Sijil untuk orang yang paling banyak kena reject dalam universiti ni. Legend! Haha!" Gelak besar Kamal. Jai merebahkan dirinya ke katil tanpa mengendahkan kata-kata Kamal.
Jai tidak berani lagi untuk bercinta mahu pun jatuh cinta. Dia sudah serik. Kali ini dia nekad untuk tidak mahu bercinta langsung. Jai hanya mahu mengekalkan rekod kena reject nya dalam nombor ganjil sahaja. Tidak mahu nombor genap. Bagi Jai cinta itu hanya permainan semata-mata. Bukan masalah tak ada jodoh, ini masalah bodoh. Fikir Jai. Pendirian Jai tetap tidak boleh diubah lagi.
Kamal pula sudah penat menasihati Jai supaya bersabar. Tetapi Jai sudah putus asa. Dan akhirnya Jai keseorangan sehingga dia habis diploma. Fazira Izrin pula sudah bertunang dengan kekasihnya. Dan perkara itu mengejutkan Jai sehingga Jai menghabiskan masanya dengan kerjayanya.
Petunjuk cinta? Mengarut. Monolog Jai menutup cerita.
Nantilah jumpa mirza baru aku comment, monolog aku...
ReplyDelete