Monday 17 November 2014

Petunjuk Cinta 2

Perkara ini yang merunsingkan Jai jika Faz tidak faham apa yang Jai cuba sampaikan. Jai mencuba lagi. Kali ini petunjuk kedua pula yang ditunjukkan olehnya kepada Faz. Jai menghulurkan cendol jagung kepada Faz. Jai pula hanya sekadar minum air batu campur sahaja.

Jai mula memuji-muji perwatakan Faz. Jai mahu Faz tahu bahawa Jai puji dengan ikhlas. Bukannya dibuat-buat.

"Saya suka dengan cara awak yang open minded. Maksud saya awak tak awkward dengan apa yang saya cerita dengan awak. Awak ni pun jenis melayan je. Haha." Gelak Jai. Dalam masa yang sama Jai hanya memerhatikan tingkahlaku Faz. Ya, memang Faz seorang yang open minded. Faz seronok melayan lawak-lawak yang Jai sampaikan. Ada punchline katanya.

"Biasalah, hidup kita ni tak boleh nak pesimis sangat. Saya pun suka juga dengan cara awak yang sempoi je memanjang. Macam tak ada masalah je." Kata Faz sambil meminum cendol jagungnya. Jai cuba mengawal dirinya daripada marah.

Dia ni tak perasan lagi ke dengan apa yang aku buat? Monolog Jai. Jai sudah tidak sabar untuk meluahkan perasaan cintanya pada Faz tapi dia masih lagi trauma akibat pernah kena reject. Terpaksalah Jai bersabar sehingga tunggu masa yang sesuai. Faz memandang wajah Jai yang mulutnya terkumat-kamit.

"Awak baca apa tu? Awak nak santau saya eh?" Tanya Faz kepada Jai. Jai terkejut.

"Eh, tak. Saya cuma baca doa makan je. Haha."

"Ohh yeker. Saya ingatkan awak nak santau saya. Maklumlah cerita Santau kan top sekarang ni dekat pawagam. Jadi saya ingat awak dah terpengaruh."

Budak ni banyak sangat tengok movie ni... Tak apalah, nasib baik cantik. Jai cuba untuk melegakan hatinya dengan berfikiran optimis.

"Awak ni cantik, mesti ramai orang minat awak kann..." Puji Jai lagi. Faz tersipu-sipu malu bila mendengar pujian Jai.

"Eh tak adalah. Biasa je. Saya cuma risau orang friendzone dengan saya je. Lagipun, saya ni bukannya cantik macam Emma Maembong." Faz cuba merendah diri. Dia tidak mahu dipandang serong oleh Jai. Jai kemudian terbatuk.

"Awak okey tak?" Tanya Faz dalam keadaan kelam-kabut bila melihat Jai batuk tidak berhenti.

"Okey je. Saya cuma tersedak bila awak cakap macam tu. Tapi jujurlah awak memang cantik. Saya tak pandai nak tipu perempuan. Dengan lelaki je saya pandai menipu." Jai cuba mengampu Faz lagi. Jai berharap Faz dapat perasan dengan tingkah lakunya.

Faz tersenyum. Jai dapat perasan dengan senyuman Faz. Kali ini Jai dapat merasakan bahawa dia telah berjaya merembat hati Faz dengan jayanya! Dia yakin Faz adalah bakal isterinya. Jai mula hanyut dengan angan-angannya yang dicipta sendiri.

"Awak... Awak..!" Faz menggoncang badan Jai. Jai yang sedang angau tiba-tiba tersedar sambil gelak kecil.

"Maafkan saya. Saya tengah fikirkan sesuatu." Ujar Jai yang baru habis berangan.

"Awak fikirkan pasal saya ya? Tak payah risaulah. Saya tahu jaga diri saya. Erm, jomlah balik kampus. Cendol saya pun dah habis ni. Lainlah kalau awak nak belanja lagi. Hehe." Usik Faz. Wajah Jai berubah menjadi merah menahan malu.

"Eh, saya tak ada duit lagilah. Nanti saya dapat elaun saya belanja awak lagi okay!" Jai tersangatlah gembira pada hari itu kerana dia dapat merasakan dengan hatinya sendiri bahawa Fazira Izrin sudah jatuh cinta dengannya.

Alhamdulillah. Jai bersyukur dengan keadaan dirinya sekarang ini. Dia sangat berharap ini adalah cintanya yang terakhir.

***
Malam itu, Kamal melihat perangai Jai makin pelik. Dia sudah pandai buat origami kapal terbang, kereta racing, angsa, dan macam-macam bentuk origami yang ada. Kamal menegur perubahan Jai.

"Jai Ho. Kau dah gila ke? Tiba-tiba buat banyak origami pelik-pelik ni. Kau nak bagi dekat Faz tu ke?" Tanya Kamal sambil memegang origami kapal terbang yang dibuat oleh Jai. Jai merampas kembali origami kapal terbang yang dipegang oleh Kamal.

"Janganlah pegang-pegang, rosak nanti!" Kata Jai.

"Kau ni macam-macamlah Jai. Pelik-pelik je kau ni. Kata dah tak jatuh cinta. Kau ni yakin ke dengan Faz tu? Aku rasa kau je yang syok sendiri ni..." Perli Kamal. Saja nak buat Jai sakit hati. Hari tu kata lain, sekarang kata lain.

"Dia mesti perasan punya. Aku dah bagi dia petunjuk cinta!" Ujar Jai dengan wajah yang gembira tak terkata.

"Gila."

"Kaulah gila. Kata aku pula. Aku tak tahulah kenapa aku boleh jatuh cinta dengan Faz ni." Marah Jai. Kamal menolak kepala Jai secara tiba-tiba.

"Aku pun tak tahulah kenapa tiba-tiba aku tolak kepala kau ni. Aku rasa kan, makin lama aku tengok kau makin lama aku rasa macam nak pijak kau. Haha" Gelak Kamal. Jai tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib baiklah Jai seorang yang penyabar. Kalau tak dah lama dipukulnya Kamal. Itu pun kalau boleh.

"Dah laa Kamal, kau jangan nak menganjing aku malam-malam buta ni. Tolonglah bersikap matang sikit. Umur pun dah makin meningkat." Nasihat Jai kepada Kamal. Kamal gelak besar.

"Kau tu yang tak matang. Lelaki yang matang adalah lelaki yang berpegang pada janji. Ini minggu lepas punyalah poyo kata tak nak bercintalah, tak nak itulah, kena reject, semua benda mengadu kat aku. Lepas tu hujung-hujung jatuh cinta. Kau dah kena rasuk dengan jin ni...." Kamal hanya sekadar menasihati Jai supaya Jai tidak kecewa. Tetapi Jai tetap berdegil.

"Jin apa pulak malam-malam buta ni..."

"Jin bodoh. Bodoh macam kau."

"Diamlah!!!" Jerit Jai kepada Kamal. Kamal hanya tersengih.

"Aku tak nak kau kecewa je. Hujung-hujung nanti kau menyesal. Percayalah. Aku selaku roommate kau yang banyak pengalaman bercinta hanya mampu nasihat je. Aku tak mampu nak buat lebih-lebih sebab itu pilihan kau."

"Suka hati akulah Kamal. Aku tahu apa yang aku buat. Kali ini dia akan jadi buah hati aku. Aku akan ada girlfriend yang pertama buat julung kalinya setelah aku single bertahun lamanya. Yang penting aku dah belanja dia cendol. Dia suka makan cendol kott."

"Hidup jangan terlalu dipenuhi dengan harapan takut kecewa di kemudian hari sakit nanti. Itu jelah aku nak cakap." Kamal menutup bicara. Jai mengalihkan pandangannya ke luar jendela. Memikirkan apa yang Kamal cakap.

Jai ragu-ragu dengan dirinya. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih pun. Hanya sekadar jatuh cinta buat kali terakhir. Dia pun sudah muak asyik kena reject banyak kali. Kalaulah dia kena reject maka dia adalah lelaki pertama dalam universitinya yang pernah kena reject sebanyak 21 kali! Malu besar Jai jika perkara itu berlaku pada dirinya!

Kamal yang sedang melihat Jai hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menepuk bantalnya. Kemudian, Kamal terus merebahkan dirinya di atas katilnya yang empuk itu.

Aku kata kau tak nak percaya... Monolog Kamal dalam dirinya sebelum dia melelapkan matanya.

***
Seminggu kemudian...

Kamal membuka pintu bilik. Kamal meletakkan nasi bungkusnya di atas meja. Kemudian dia duduk sambil menghela nafas lega akibat latihan kawad yang dihadirinya. Kamal bukannya boleh tahan berdiri lama-lama. Dia cepat sangat rasa penat.

Kamal perasan sesuatu yang pelik. Ada sebuah lembaga di bawah mejanya. Dia terkejut dan perlahan-lahan cuba melihat apakah lembaga tersebut.

Rupanya Jai. Jai yang sedang bersedih dan menangis teresak-esak. Kamal menarik tangan Jai untuk keluar dari bawah mejanya.

"Keluarlah gila! Kau duduk bawah meja aku ni buat apa?!" Marah Kamal. Jai bangun lalu keluar daripada bawah meja Kamal.

"Kau menangis ni dah kenapa? Gila ke?" Tanya Kamal lagi dalam nada marah. Sudahlah Jai duduk bawah meja, tambah lagi menangis yang conform boleh buat Kamal jadi tension. Terpaksalah Kamal cuba untuk menenangkan Jai.

"Friendzone... Petunjuk cinta aku mengarut... aku dah kena friendzone. Aku dah terlambat nak luahkan perasaan aku..."

"Apa?"

"Aku tak tahu yang Faz pun suka aku jugak sebenarnya. Aku ingat nak tunggu dia confess dekat aku tapi semalam dia beritahu yang dia dah ada pakwe. Baru couple pulak tu. Alangkah dukacitanya hati aku bila dapat tahu perkara tu..." Luah Jai perlahan. Dia benar-benar sedih.

"Kau kata dia suka kau?"

"Itupun aku dapat tahu semalam. Dia kata dia betul-betul suka dengan cara aku, sikap aku, perwatakan aku. Dan dia pun ada kata tak pernah ada lelaki layan dia dengan baik sangat macam aku layan dia tapi apakan daya dia pun tunggu jugak aku confess rupanya." Cerita Jai. Kamal mendengar cerita Jai dengan teliti.

"Bila aku dapat tahu semua ni aku teruslah mintak couple dengan dia. Kau tahu apa dia cakap?"

"Apa benda? Mesti dia reject punya. Haha."

"Tahu pun. Dia reject aku. Tak adillah macam ni. Kata suka aku. Kenapa reject aku? Hmm.." Jai luahkan sedikit rasa kesalnya. Sepatutnya dia tidak memberi petunjuk cinta. Jai mula rasa apa yang dia buat selama ini sia-sia.

"Dia dah ada pakwe bodoh. Tak akanlah dia nak tinggalkan pakwe dia? Fikirlah sikit. Aku dah kata awal-awal jangan letak harapan. Tengok apa dah jadi." Ujar Kamal. Jai mula rasa menyesal.

"Ini kali ke-21 aku dah kena reject. Kehinaan apakah ini?" Jerit Jai dengan kuat di dalam bilik. Kamal membuat wajah selamba sambil membuka nasi bungkusnya.

"Tahi anjing. Aku dah kata dengan kau tak payah nak gatal bercinta. Kau juga yang sengsara. Maka, dengan ini kau dinobatkan sebagai King of budak kena reject!" Kamal memberi gelaran yang teruk kepada Jai.

"Aku dah terlepas... sedihnya aku. Aku tak tahu nak buat apa. Dengan mana-mana perempuan asyik aku kena reject je. Baik aku pergi Reject Shop ajelah lepas ni."

"Buat apa pergi Reject Shop?" Tanya Kamal.

"Beli bajulah." Jawab Jai dengan lawak bodohnya.

"Sudahlah. Lepas ni jangan bercinta dengan perempuan. Kau bercinta je dengan lelaki. Bodoh betul kau ni. Lain kali fikir dulu sebelum buat tindakan." Kata Kamal sambil menyuap nasi bungkus ke dalam mulutnya.

"Fazira Izrin... nama cantik... orang pun cantik..." Jai mengesat air matanya yang mengalir.

"Esok aku buat sijil untuk kau. Sijil untuk orang yang paling banyak kena reject dalam universiti ni. Legend! Haha!" Gelak besar Kamal. Jai merebahkan dirinya ke katil tanpa mengendahkan kata-kata Kamal.

Jai tidak berani lagi untuk bercinta mahu pun jatuh cinta. Dia sudah serik. Kali ini dia nekad untuk tidak mahu bercinta langsung. Jai hanya mahu mengekalkan rekod kena reject nya dalam nombor ganjil sahaja. Tidak mahu nombor genap. Bagi Jai cinta itu hanya permainan semata-mata. Bukan masalah tak ada jodoh, ini masalah bodoh. Fikir Jai. Pendirian Jai tetap tidak boleh diubah lagi.

Kamal pula sudah penat menasihati Jai supaya bersabar. Tetapi Jai sudah putus asa. Dan akhirnya Jai keseorangan sehingga dia habis diploma. Fazira Izrin pula sudah bertunang dengan kekasihnya. Dan perkara itu mengejutkan Jai sehingga Jai menghabiskan masanya dengan kerjayanya.

Petunjuk cinta? Mengarut. Monolog Jai menutup cerita.

Wednesday 12 November 2014

Petunjuk Cinta 1

Cinta dan petunjuk. Kalau digabungkan kedua-duanya akan wujudlah perkataan petunjuk cinta. Semua orang waima muda mahu pun tua semuanya mempunyai kehendak untuk bercinta. Petunjuk cinta adalah salah satu hint bagi kita jika kita hendak tahu jika seseorang itu suka kepada kita. Kisah cinta ini memfokuskan kepada protagonis yang bernama Zainuddin Farish atau lebih dikenali sebagai Jai. Kenapa Jai? Sebab dahulunya sewaktu di sekolah menengah di dalam kelas Zainuddin Farish terdapat 5 orang yang bernama Zainuddin. Makan dia digelar sebagai Jai. Bukan Jai Ho ataupun Jai Jai Jai. Tetapi hanya Jai.

Jai bukanlah seorang yang pandai dalam bab cinta kalau dibandingkan dengan abangnya, Bai. Nama penuh Bai ialah Bairudin Omar. Bai ialah seorang playboy berbanding adiknya yang sering dimainkan oleh playgirl. Dari zaman sekolah lagi Jai tidak pandai bercinta. Sudah 20 kali cintanya ditolak oleh orang yang berbeza! Maka dia sudah berjanji dia tidak akan bercinta lagi. Tapi, setelah dia menyambung pelajarannya ke universiti swasta dalam bidang bisnes, janjinya dicapati!

***

Suasana di dalam bilik berbahang sedikit, jadi Jai dan roommate nya iaitu Kamal terpaksa membuka baju memandangkan cuaca panas. Kamal cuba mengusik Jai tentang topik yang tidak digemarinya iaitu cinta.

"Jai, kau tak teringin ke nak bercinta? Aku dah ada girlfriend. Dah serius nak kahwin pun. Kau bila lagi?" Tanya Kamal yang sedang baring di katilnya kepada Jai. Jai bangun dari katilnya dan terus baring di sebelah Kamal.

"Kau rasa aku ni nak bercinta lagi ke tak lepas kena reject 20 kali? Bukan sekali, 20 kott."

"Mestilah tak nak." Jawab Kamal selamba.

"Tahu pun. Aku dah serik daa kalau nak bercinta lagi. Buang masa, bazir duit, tak dapat apa-apa manfaat." Jai menerangkan kenapa dia tidak mahu membuka hatinya untuk bercinta lagi. Sebagai kawan, memang Kamal memahami kenapa Jai tidak mahu bercinta. Kamal pun tahu tentang kisah 20 Jai.

20 kali kena reject. Malang bukan?

"Tapi terus teranglah dengan aku... Tak akan kau duduk dekat universiti ni nak belajar sepanjang masa je? Nanti kau rasa bosan. Manusia tak boleh lari dari cinta kau tahu tak." Nasihat Kamal kepada Jai. Dia tidak mahu Jai berputus asa dalam soal cinta. Pada Kamal, cinta itu pasti datang.

"Siapa kata aku lari dari cinta? Aku cuma elak je. Tapi aku tahu aku akan cuba elak cinta walau datang dari utara, timur, barat mahu pun selatan Thailand." Balas Jai dengan loyar buruknya.

"Yakin sangat kau ni. Kau tak patut yakin sampai macam tu."

"Sebab apa pulak? Ha? Ha?" Jai menjentik ketiak Kamal.

"Sakitlah gila! Sebab kau ni Jai! Beckham can blow it, Ralph can wreck it, Jai can blow it! Haha!" Gelak besar Kamal bila mengusik Jai. Jai terus menepuk perut Kamal dan lari menuju ke tandas. Perut Jai sebenarnya memulas dari tadi. Kamal hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia ingat aku ni main-main ke? Monolog Jai dalam hatinya.

***
Seminggu kemudian...

Jai duduk tersengih bersendirian. Kamal yang baru balik dari kelas hanya pelik melihat kawannya tersengih macam kerang busuk. Sengih sorang-sorang pulak tu!

"Hoi, budak bodoh. Gila apa sengih sorang-sorang." Tegur Kamal. Jai yang dari tadi tersengih tiba-tiba terkejut dari lamunannya.

"Kaulah bodoh. Kata aku pula." Marah Jai dikata bodoh. Semua orang pun marah bila dipanggil bodoh. Termasuklah Jai.

"Kau ni dah kemaruk ke nak bercinta sampai gelak sorang-sorang macam orang gila? Tadi sengih, lepas tu gelak pulak. Dari tadi aku perhatikan kau je. Kau ni nak kena pijak agaknya." Kamal membuka jaket fakultinya dan menggantungkan jaketnya di dalam almari. Kemudian dia menyusun baju-bajunya di dalam almari tersebut.

"Aku dah suka seseorang laa. Sebenarnya..."

"Sebenarnya, kau bodoh." Balas Kamal pendek. Kamal tahu Jai sudah jatuh cinta. "Tapi dengan siapa?" Kamal cuba mengagak.

"Kau suka budak dari fakulti Environmental Health tu ehh?" Kamal harap tekaannya mengena sasaran. Jai terkejut dan menelan air liurnya.

"Mana kau tahu?"

"Sebab dia kawan aku."

"Tipu."

"Ya."

"Ok, aku percaya cakap kau. Sebenarnya kejap lagi aku ajak dia keluar untuk makan cendol dengan aku. Aku akan buat sesuatu yang sweet untuk dia." Kata Jai dengan penuh perasaan. Kamal memandang sinis. Dia harap Jai tidak kena reject untuk kali ke 21.

"Baguslah tu. Good luck." Kamal hanya membalas ayat pendek.

"Kau tak nak tahu ke sebab apa aku nak bercinta semula? Aku tahu kau mesti nak tahu..." Jai cuba menimbulkan tanda tanya kepada Kamal. Kamal yang tadinya sedang sibuk menggantungkan bajunya di almari terus baring di atas katilnya.

"Aku tahu sebabnya. Sebab kau monyet yang berpendidikan."

"Diam." Jai terus keluar dari bilik.

Kamal tahu yang Jai pasti akan cuba mengurat Fazira Izrin. Tapi ramai kawan-kawan sekelasnya memanggil Fazira Izrin sebagai Faz sahaja. Faz ni tidaklah cantik mana. Tetapi perangainya sopan dan baik membuatkan Jai jatuh cinta dengannya. Sebelum ini Kamal pernah melepak bersama-sama Faz dan waktu itu Jai terserempak mereka berdua di food court. Di situlah bermulanya titik permulaan Jai jatuh cinta kepada Faz. Jatuh cinta untuk kali ke 21.

"Mesti budak Jai ni add Faz dekat facebook aku. Tak guna punya stalker. Lepas ni aku private aku punya profile." Kamal mengomel bersendirian. Dia harap Jai tidak kecewa lagi.

***
"Hai awak. Nama saya Zainuddin. Tapi orang panggil saya Jai." Jai memperkenalkan dirinya kepada Faz. Jai kelihatan sedikit gelabah. Faz tersenyum. Tak pernah ada lelaki cuba mengorat dengan cara skema begitu. Siap nak kenal diri bagai. Padahal dah kenal dekat facebook pun.

"Kenapa Jai?" Tanya Faz. Waktu itu mereka sedang dalam perjalanan ke Kedai Cendol Pak Hussain yang dikatakan sangatlah sedap cendolnya sehingga menjilat sudu.

"Sebab waktu saya sekolah menengah dahulu ada ramai orang nama Zainuddin dalam kelas saya. Sebab tu mereka gelar saya Jai." Cerita Jai kepada Faz.

"Tapi awak tahu tak yang saya ni banyak cakap?" Tanya Jai kepada Faz. Faz melihat wajah Jai.

"Tahu. Tengok pun dah tahu. Haha." Faz hanya gelak kecil. Faz tahu Jai cuba untuk mengoratnya.

"Ohh yeke? Maaflah saya tak pandai sangat cakap dengan perempuan. Sebab saya kurang sikit dengan perempuan ni. Saya cuma biasa dengan lelaki je." Jai menerangkan serba sedikit tentang dirinya. Faz terkejut.

Dia ni gay ke? Faz berkata dalam hatinya. Bukan nak kata apa, tapi Faz sudah banyak kali terjumpa dengan orang yang songsang nafsunya.

"Tapi bukan bermakna saya ni gay!" Kata Jai. Faz menghela nafas lega. Nampaknya dia salah sangka.

Setibanya di Kedai Cendol Pak Hussain, Jai menarik kerusi dan menjemput Faz duduk. Acah-acah romantik laa tu. Jai harap dapat memberi petunjuk cinta kepada Faz. Kali ini dia tidak mahu luahkan, hanya sekadar memberi sedikit petunjuk sahaja.

"Order laa apa-apa yang awak nak. Jangan risau saya yang belanja oke?" Jai memberi petunjuk yang pertama! Dia harap Faz faham dengan apa yang cuba disampaikannya.

"Okey, saya nak cendol jagung jelah." Nampaknya Faz tidak perasan. Jai cuba menunggu masa yang tepat untuk memberi petunjuk kedua pula.

BERSAMBUNG...


Monday 7 April 2014

Hanya Kerana Mangkuk

Manusia. Sentiasa buat kesilapan. Manusia memang tidak sempurna. Kadangkala, kita rasa yang kita sudah terlalu perfect. Tidak semudah itu manusia hendak berjaya atas usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Dan yang paling susah bila ada kawan kita yang asyik mengharapkan bantuan kita tanpa berusaha sendiri.

Hamidi juga begitu. Dia sentiasa mengharapkan bantuan orang lain untuk dirinya mencapai kejayaan. Susah untuk melihat Hamidi berdiri di atas kaki sendiri.

Naim merupakan salah seorang roommate Hamidi sejak dari semester 1 lagi. Dia sudah masak dengan perangai Hamidi yang sentiasa meminjam orang lain. Kemudian buat harta sendiri.

Sekarang, pada waktu inilah, kemarahan Naim mula meletus! Naim, Hamidi dan juga Nazifah belajar di perpustakaan awam untuk test yang akan datang. Waktu itu..

"Benci aku, Midi! Kau pinjam barang aku bukan nak pulang balik. Tengok, pemadam aku dah hilang daa!" Marah Naim kepada Hamidi yang hanya buat muka selamba sahaja. Hamidi mengorek hidungnya seraya berkata, "Rilekslah, aku pinjam tu bukan lama pun. Esok aku pulanglah. Pemadam tu ada lagi kat aku."

"Err.. Nazifah, aku nak rubber kau." Kata Naim kepada Nazifah yang sedang tekun menghafal subjek law-nya. Muka Nazifah menjadi merah.

"Laa..kenapa? Aku nak rubber kau sekarang. Cepatlah!" Desak Naim. Nazifah terdiam seketika. Kemudian, Hamidi mengetuk kepala Naim.

"Adoi! Apa hal ni?" Marah Naim.

"Kau nak raba dia ni apa hal? Kahwin dululah baru main raba-raba ni." Jelas Hamidi kepada Naim. Naim naik darah dan kemudian terus menolak kepala Hamidi.

"Kaulah yang bodoh. Tak gunalah. Aku nak pemadam dia. Bukan nak raba dia. Faham tak? Bahasa Inggeris kau ni fail lah!" Naim mula naik darah. Mukanya merah pedam. Nazifah terus memberikan pemadamnya kepada Naim, Naim menyambutnya ringkas.

"Kan senang! Kau ni, Hamidi. Lainkali kalau kau nak pinjam barang tu, pulangkan balik. Bukan buat harta sendiri. Pemadam, pensel, buku, pen, baju, seluar, semua kau nak pinjam. Kalau pulang, takpe, aku tak kisah. Ini langsung tak pulang!" Bebel Naim. Nazifah meneruskan membuat kerjanya sementara Hamidi hanya pura-pura tidak dengar dengan bebelan Naim.

"Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?" Tanya Naim kepada Hamidi. Hamidi hanya buat bodoh sahaja. Naim mengetuk mejanya. Nazifah dan Hamidi terkejut.

"Yang paling aku bengang... Kau tak pulangkan mangkuk kesayangan aku! Kau buat makan laksa pelbagai, lepas tu tak pulangkan kat aku!!" Jerit Naim kepada Hamidi. Hamidi hanya membuat muka semborono sahaja dari tadi. Nazifah pula menendang kaki Hamidi supaya dia memberi respons kepada Naim supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang.

"Naim, jangan sampai mangkuk tu kau nak putus kawan.. Aku tahu mangkuk tu kau dapat percuma je kann. Ala, yang beli ubat gigi percuma mangkuk tu. Apa nama ubat gigi tu.. Haa, Kodomo Lion!" Dengan selamba Hamidi cuba mengusik Naim.

"Sebelum aku pecahkan muka kau kat sini. Baik kau pulangkan mangkuk aku tu sekarang, mangkuk!" Naim dah mula menggenggam buku limanya. Hamidi hanya sengih-sengih sahaja sambil buat muka sepuluh sen. Nazifah pula sudah mula risau dengan kemarahan Naim yang akan meletus sebentar sahaja lagi.

"Dah! Aku nak balik rumah! Korang baliklah rumah sendiri. Pandailah korang cari teksi ke apa ke.." Naim mengemas barang-barangnya di atas meja dan berlalu pergi begitu sahaja.

Nazifah hanya memandang Naim dari jauh sahaja. Dia tahu Naim memang cukup jelek dengan tabiat Hamidi yang suka pinjam meminjam barang tanpa pulangkan balik. Nazifah kemudian bertanya kepada Hamidi tentang mangkuk yang dipinjam oleh Hamidi sebulan lepas.

"Dah hilang daa mangkuk tu sebenarnya." Kata Hamidi dalam nada selamba. Nazifah terkejut.

"Kau pun tahu kann mangkuk tu paling penting buat Naim! Kenapa kau hilangkan mangkuk tu?" Nazifah memukul-mukul badan Hamidi dengan pembaris kayunya.

"Mangkuk tu pun free aje. Bukan ada special sangat pun. Kalau mangkuk jamban emas tu takpelah. Itu baru betul special." Dengan selamba badak Hamidi mengorek hidungnya sekali lagi. Nazifah terus memukul kepala Hamidi dengan pembaris.

"Aduh!"

"Salah tu. Mangkuk tu sangat berharga buat dia walaupun mangkuk tu free sebenarnya. Itu mangkuk yang mak dia beri sebelum mak si Naim tu pergi." Kata Nazifah.

"Inalillah..." Hamidi mula menabur rasa simpati. Tiba-tiba dia rasa bersalah terhadap Naim. Mungkin dia agak keterlaluan dengan Naim. Yalah, manakan tidak, kadangkala dia sentiasa mengacau Naim. Walaupun sudah hampir ke penghujung semester 6, Hamidi masih tidak tahu tentang latar belakang keluarga Naim. Naim banyak merahsiakan perihal dirinya dan keluarganya. Hanya sesetengah rakan baiknya yang tahu tentang latar belakang keluarganya.

"Aku rasa aku kena cari balik mangkuk tu.." Hamidi membuat keputusan untuk mencari mangkuk yang telah dihilangkan olehnya. Nazifah tersenyum.

"Macam tulah apa yang sepatutnya seorang kawan buat. Okeylah, aku nak balik dulu." Kata Nazifah sambil mengemas barangnya.

"Eh, kau naik apa?" Tanya Hamidi kepada Nazifah. Nazifah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Aku naik motorsikal laa tadi. Kau tu yang tumpang Naim naik kereta dia tadi." Kata Nazifah.

"Tumpangkanlah aku!"

"Tak boleh. Bukan muhrim. Pandai-pandai kau balik yer. Nah RM1, boleh buat tambang teksi nanti." Nazifah meletakkan sehelai not RM1 di hadapan Hamidi.

"Mana cukup ni!"

"Cukup. Kau buat bayar tol teksi cukuplah. Hehe." Kata Nazifah sebelum dia berlalu pergi meninggalkan Hamidi keseorangan di meja belajar. Hamidi hanya memikirkan apa yang patut dilakukan olehnya. Ya, dia mesti mencari mangkuk tersebut sebelum dia digelar 'mangkuk' oleh kawan-kawannya akibat kesalahan yang dilakukan olehnya.

Malam itu, Hamidi menyelongkar almari dan juga laci mejanya untuk mencari mangkuk tersebut. Najib, roommate Hamidi menjadi hairan kerana dari tadi Hamidi asyik mengomel bersendirian. Najib hanya memerhatikan gelagat Hamidi.

"Hoi, tolonglah aku cari sekali. Tengok pulak kau!" Kata Hamidi. Najib hanya mengangkat bahunya. Najib pun tidak hebat dalam bab cari-mencari ni. Kalau dia bermain 'nyorok-nyorok' pasti dia orang yang paling loser sebab memang dia tidak pandai untuk mencari benda tersembunyi.

"Kau cari apa? Malaslah aku. Nak study ni. Ada test esok." Balas Najib.

"Test apa?" Tanya Hamidi.

"Testis." Balas Najib selamba. Wajah Hamidi menjadi hampa.

"Tak guna. Main-main pulak kau yer. Benda dowh. Mangkuk Naim ni hilang. Kau ada nampak tak?" Tanya Hamidi lagi.

"Laa.. Kau bagi pinjam dekat si Majid hari tu. Cuba kau tanya dia." Memang benar Hamidi ada memberi pinjam kepada Majid mangkuk Naim. Hamidi menepuk dahinya. Dia terlupa.

"Kejap, nanti aku pergi bilik dia dulu." Kata Hamidi.

Hamidi juga terlupa tentang perkara penting. Naim dan Majid sebenarnya adalah roommate! Memang masaklah dia akan dikerjakan oleh Naim nanti.

Hamidi mengetuk pintu bilik 9.01B. Pintu bilik dibuka.

"Ya, adik. Mahu apa?" Tanya Majid kepada Hamidi.

"Mahu you lah. Kau keluar sekarang!" Tiba-tiba Hamidi berteriak kepada Majid. Majid terkejut dengan tindakan Hamidi yang secara tiba-tiba itu.

"Ehh..apa hal ni? Rilekslah." Kata Majid sambil menepuk bahu Hamidi. Hamidi menolak tangan Majid ke tepi.

"Kau.. Kau.. Kau.." Kata Hamidi sambil menggenggam buku limanya. Majid berpeluh, mungkin dia perlu bersiap-sedia manalah tahu tiba-tiba Hamidi mahu menumbuknya. Bukan betul pun Hamidi ni, monolog Majid bersendirian.

"Mana mangkuk yang kau pinjam dari aku tu?" Tanya Hamidi dalam nada biasa. Majid tersenyum. Dia tahu Hamidi bergurau.

"Ohh.. Ada dekat Pesal. Dia pinjam dari aku kelmarin sebab nak masak megi. Cuba kau tanya dia." Kata Majid.

"Siapa kat luar tu Majid?" Suara yang sangat dikenali oleh Hamidi. Naim! Hamidi terus meminta diri dari Majid lalu terus pergi ke bilik Pesal yang berada di tingkat 1. Sudahlah lif rosak, terpaksalah Hamidi menggunakan tangga. Bukan main penat Hamidi menggunakan tangga. Dia pun bukanlah seorang ahli sukan, jadi staminanya memang tidak setanding dengan mana-mana atlet-atlet antarabangsa seperti Michael Jordan, Usain Bolt, Rafael Nadal dan sewaktu dengannya.

Sampai sahaja di hadapan bilik 1.00B, Hamidi memberi salam sambil mengetuk pintu. Jerry, kawan kepada Pesal menyambut Hamidi dengan baik.

"Haa.. Ada apa kau datang sini? Nak pinjam barang ke?" Tanya Jerry dalam nada memerli. Hamidi terasa sentap sedikit dengan kata-kata Jerry.

"Aku datang nak suruh orang pulang barang, bukan nak pinjam barang. Ni, Pesal mana? Tak nampak pun dia kat dalam bilik ni." Kata Hamidi sambil cuba mencari mangkuk Naim di atas meja Pesal.

"Ohh.. Kau cari Pesal ke? Dia takde, dia balik Kelantan sebab ada tournament futsal. Kenapa kau cari dia?"

"Tak.. Nak suruh dia pulangkan mangkuk yang dia pinjam dari Majid hari tu. Aku nak pakai." Kata Hamidi. Jerry hanya menggaru kepalanya.

"Mangkuk tu bukan Majid punya?"

"Bukan."

"Habis tu, mangkuk tu siapa punya?"

"Mangkuk tu Naim yang punya.."

"Macam mana boleh ada kat kau, Midi?"

"Sebab aku pinjam mangkuk dia laa, mangkuk! Banyak tanyalah kau ni!" Marah Hamidi. Jerry hanya senyum kambing.

"Cuba kau tanya Elyaa Faris. Manalah tahu dia tahu pasal mangkuk tu ke.. Kau tahu kann bilik dia dekat wing A?"

"Jauh dowhh.. Penat aku ulang-alik. Kau tolonglah aku Jerry."

"Itulah pinjam barang orang tak reti nak pulang balik. Kan dah menyusahkan diri. Aku  nak pergi study thermodynamics dengan Syawal. Maaflah." Kata Jerry. Nampaknya Jerry tidak dapat membantu Hamidi dalam misi mencari mangkuk kesayangan Naim.

 Hatta, terpaksalah Hamidi pergi ke sayap A di mana Hamidi terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat 9 lagi. Ya, bilik Elyaa Faris memang terletak di hujung dunia. Hamidi keletihan. Dia menghembuskan nafasnya termengah-mengah akibat terlalu penat.

"Assalaa.. Allah.." Belum sempat Hamidi memberi salam dia terus merebahkan dirinya di hadapan bilik Elyaa Faris. Pintu bilik dibuka.

"Laa, kenapa dengan mu ni?" Tanya Elyaa Faris dalam loghat kelantannya. Hamidi hanya mengangkat tangannya.

"Ohh, mu nak pecah syiling? Aku takde laa syiling." Kata Elyaa Faris. Hamidi menggelengkan kepalanya. Dia cuba berdiri walaupun badannya sekarang ini sangat letih.

"Kon.. Haa.. Haa.. Mu ni.." Kata Hamidi sambil termengah-mengah. Dia cuba untuk mencarut kepada Elyaa Faris tetapi gagal akibat kepenatan.

"Ohh. Jupe mu ni. Mu nak apa?" Tanya Elyaa Faris. Hamidi hanya menggaru-garu kepalanya. Dia tidak tahu apa itu Jupe.

"Benda dowh Jupe?"

"Julia Perez. Mu search google. Seksi dia tu." Kata Elyaa Faris dengan yakin.

"Ni, jangan buat lawak lagilah. Mu ada pinjam mangkuk dari Pesal?" Tanya Hamidi kepada Elyaa Faris. Elyaa Faris hanya menggeleng. Dia tidak ingat.

"Mu biar betul, Leyaa. Aku nak pakai mangkuk tu. Tolonglah beritahu aku mana mangkuk tu." Rayu Hamidi kepada Elyaa Faris sambil memegang bahunya.

"Ohh, tadi ada orang datang ambil mangkuk tu dari aku. Dia ghoyak dengan aku dia nak pakai mangkuk tu. Mu lambat lima minit je tadi. Aku rasa mu sempat kejar kott kawan tu. Dia duduk wing B tingkat 1. Cuba mu cari dia kat situ." Kata Elyaa Faris. Muka Hamidi berubah wajah menjadi sugul.

"Argghhhhhhhhhhh!!!!!!" Jerit Hamidi akibat tension. Kepenatan beliau akibat ulang-alik dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Kali ini Hamidi sudah hilang sabar. Dia nak berjumpa dengan Naim pada malam itu juga!

***
"Naim. Kau keluar sekarang!" Jerit Hamidi di hadapan bilik 9.01B. Naim keluar daripada biliknya. Begitu juga Majid. Muka Hamidi nampak seolah-olah hendak menangis.

"Minta maaf Naim sebab aku selalu pinjam barang kau tak pulangkan balik. Maafkan aku Naim, mangkuk kesayangan kau tu pun aku tak dapat nak pulangkan Naim. Aku rasa bersalah sebab tu pemberian arwah mak kau.." Kata Hamidi dalam nada menyesal. Majid hanya mampu menahan gelak sahaja. Begitu juga dengan Naim.

"Hoi.. Kau mengarut apa ni, mangkuk?" Tanya Naim sambil menunjukkan mangkuknya.

"Mangkuk tu.."

"Aku datang bilik Elyaa Faris tadi sebab nak ambil balik mangkuk aku tu."

"Macam mana kau tahu yang mangkuk tu ada kat bilik Elyaa Faris sedangkan.."

"Begini ceritanya, sebelum Pesal balik Kelantan, dia dah pulangkan mangkuk tu kat aku. Lepas tu, Elyaa Faris pinjam mangkuk tu dari aku. Hari ni aku pergi datang ambil baliklah!" Terang Naim.

"Habis yang kau marah tadi waktu kat perpustakaan tu.."

"Itu saja je nak buat kau sedar sikit. Kau tu kalau aku tak push tak jalan. Haha." Gelak besar Naim.

"Itulah fasalnya. Kau patut beruntung sebab ada kawan yang nak ubah perangai buruk kau." Kata Majid kepada Hamidi. Hamidi terdiam.

"Dan.. Mak kau memang dah pergilah?" Tanya Hamidi.

"Ohh.. Memang dah pergi pun. Dia pergi lama dahh dengan ayah aku. Diorang pergi Singapura atas urusan bisnes keluarga aku. Aku lupa nak cerita dengan kau. Haha. Dengan Nazifah je aku cerita sebab dia yang paling rapat dengan aku setiap semester. Minta maaf. Hehe." Senyum kambing Naim.

Hamidi menjerit sekali lagi... "Tidaaaaaakkkkkkkk....!!!!"

Sejak hari itu, Hamidi sudah tidak berani meminjam barang dari sesiapa pun lagi. Dan dia berjanji dia akan berusaha di atas kakinya sendiri.